Read Time:1 Minute, 21 Second
KUALA LUMPUR : Anak jati Sabah, Ericson Lotidis, mencipta sejarah apabila muncul juara Cookie Run Trading Card Game (TCG) – Brave League 2025 Season 2 Final Malaysia, sekali gus melayakkannya mewakili Malaysia ke Kejohanan Dunia di Korea Selatan.
Pertandingan berprestij yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur itu menghimpunkan pemain terbaik negara bagi merebut gelaran juara dan tiket tunggal ke pentas antarabangsa pada April 2026.
Sabah mencuri tumpuan apabila hadir dengan lapan pemain berbakat termasuklah
Ericson, Jivinod J Kuyun, Joanna Chin Mei Ling, Alvin Jonathan Joymon, Renge Soon Lee Wah, Farren Tan, Chin Hui Juen, dan Lim Lianq Jou.

Daripada jumlah itu, Ericson dan Farren Tan berjaya mara ke Top 8, sebelum Ericson meneruskan momentum kemenangan hingga ke pentas final.
Beraksi penuh ketenangan dan strategi kemas, Ericson menggunakan Deck Red Velvet Midrange.
Walaupun tewas pada pusingan pertama, beliau kembali bangkit dan menundukkan lawan dalam dua pusingan berikutnya.
Keputusan itu dimeterai hasil penggunaan Fire Spirit Cookie sebagai “kad harapan”, yang menjadi kunci kemenangan — mencetus sorakan gemuruh komuniti pemain dan peminat e-sukan kad strategi.
Dengan gelaran juara kebangsaan, Ericson kini menjadi wakil tunggal Malaysia ke kejohanan dunia, di mana semua kos perjalanan dan penyertaan ditanggung penganjur.
Di Korea Selatan kelak, beliau bakal beraksi menentang pemain elit dari 10 wilayah kompetitif antarabangsa, termasuk Korea; Taiwan; Thailand; Vietnam; Singapura; Malaysia; Indonesia; Filipina; Amerika Syarikat dan Kanada
Permainan ini semakin popular dalam kalangan belia Malaysia, malah pemain seawal usia Sembilan tahun mula menyertainya.
Kejayaan Ericson Lotidis bukan sahaja mengangkat martabat Sabah, malah membuktikan bakat anak muda Malaysia mampu bersaing di pentas dunia — menggabungkan minda strategik, semangat kesukanan, dan daya saing global. – SABAH MEDIA






