Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

94 PATI Indonesia dihantar pulang melalui Tawau

Read Time:1 Minute, 19 Second

Oleh Ahmad Husnayan

TAWAU: Seramai 94 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal melalui Terminal Feri Tawau, semalam, menerusi Program Pemindahan Tahanan PATI dikendalikan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah.

Semua tahanan berkenaan dipindahkan dari Depot Imigresen Papar ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia menggunakan kapal Labuan Express dalam operasi terkawal hasil kerjasama pelbagai agensi keselamatan.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, berkata kumpulan itu terdiri daripada 53 lelaki dewasa, 23 wanita, 11 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan berusia antara satu hingga 57 tahun.

“Kanak-kanak terbabit turut diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing bagi memastikan keselamatan serta kelancaran proses penghantaran semula,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

“Setakat ini seramai 1,847 warga Indonesia sudah dihantar pulang sepanjang tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan 9,059 tahanan asing dipindahkan dari Sabah ke negara asal masing-masing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua tahanan sudah menjalani hukuman mengikut undang-undang dan memiliki Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) yang sah sebelum dibenarkan pulang.

“Kekerapan program pemindahan tahanan bergantung kepada tempoh masa pengeluaran SPLP oleh Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Sabah,” katanya.

Dalam masa sama, Sitti Saleha turut mengingatkan majikan di negeri ini supaya menyertai program pendataan digital warga asing yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri bagi merekod keberadaan pekerja asing, terutama dalam sektor perladangan.

“Inisiatif ini penting bagi mengekang masalah dokumentasi bercelaru serta lambakan PATI di Sabah.

“Majikan yang melindungi atau menggaji pekerja tanpa dokumen sah boleh dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi termasuk denda hingga RM50,000, penjara atau sebatan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

LEAVE A RESPONSE