Read Time:1 Minute, 1 Second
KOTA KINABALU: Seramai 811 murid terjejas akibat bencana banjir yang melanda beberapa kawasan di Sabah, melibatkan empat buah sekolah di Beaufort dan Sipitang.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Raisin Saidin berkata, dua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) iaitu Beaufort dan Kuala Penyu dikenal pasti terkesan dengan situasi banjir berkenaan.
“Di daerah Beaufort, tiga sekolah terlibat iaitu SM St Paul dengan 568 murid terjejas, diikuti SK Lago (91 murid) dan SK Batu 60 (95 murid).
” Sementara itu, di bawah PPD Kuala Penyu, sebuah sekolah turut terjejas iaitu SJK (C) Sin Boon di Sindumin, Sipitang yang melibatkan 57 murid,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Bagaimanapun, setakat ini Raisin berkata. tiada pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di premis sekolah terlibat.
Menurutnya, keadaan banjir yang berlaku menyebabkan beberapa kawasan sekolah dinaiki air, sekali gus menjejaskan operasi harian serta keselamatan murid dan warga pendidik.
“Pada masa ini, sekolah terlibat akan melaksanakan Pembelajaran dan Pengajaran di rumah (PdPR),” katanya.
Beliau turut berkata, pihaknya akan terus memantau situasi semasa dan akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kebajikan serta keselamatan semua murid terjamin.
“Orang ramai, khususnya ibu bapa, dinasihatkan agar sentiasa mengikuti perkembangan terkini dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya. – SABAH MEDIA





