Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

648 ahli Pengakap Sabah sertai Jamboree Radio, Internet Peringkat Global

Read Time:1 Minute, 6 Second

SANDAKAN: Seramai 648 ahli Pengakap pelbagai peringkat umur bersama petugas dari enam daerah menyertai Program Jamboree on the Air (JOTA) ke-68 dan Jamboree on the Internet (JOTI) ke-68 di Stesen Utama Pengakap Negeri Sabah, Gilwell Scouts Nature Park, di sini.

Program yang berlangsung dari 17 hingga 19 Oktober itu dianjurkan oleh Persekutuan Pengakap Malaysia Sabah dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dan disempurnakan penutupannya oleh Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee.

Dalam ucapannya, Vivian berkata penganjuran JOTA dan JOTI membuka ruang komunikasi serta interaksi antara ahli pengakap seluruh dunia melalui gelombang radio dan rangkaian internet.

“Ia juga mampu menerapkan semangat persahabatan sejagat, kerjasama dan saling menghormati tanpa mengira bangsa, agama serta sempadan geografi.

“Pada era digital kini, keupayaan menguasai teknologi komunikasi amat penting bagi melahirkan generasi yang berdaya saing dan berfikiran global,” katanya.

Beliau menambah, program itu bukan sekadar aktiviti tahunan tetapi menjadi platform membina kepimpinan, semangat kerjasama dan jaringan antarabangsa yang membantu membentuk peribadi unggul dalam kalangan anak muda.

“Kerajaan sentiasa menyokong program berimpak tinggi seperti ini yang berperanan membangunkan potensi belia secara menyeluruh dari aspek intelektual, sosial dan spiritual,” katanya.

Majlis penutupan turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya Pengakap Sabah, Jamaludin Jinal; Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri, Datuk Awang Zaini Suntim; dan Pengarah Program JOTA JOTI 2025 Stesen Utama Negeri Sabah, Barmuli Parudin.

LEAVE A RESPONSE