Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Seramai 490,314 pelajar di Sabah akan memulakan sesi persekolahan bagi tahun 2026 yang akan bermula pada Isnin.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Raisin Saidin berkata, dari jumlah itu seramai 276,144 adalah pelajar sekolah rendah, manakala selebihnya adalah pelajar sekolah menengah.
“Pelajar tahun enam mencatatkan jumlah pelajar yang tertinggi iaitu seramai 48,106 orang dan tahun satu mencatatkan pelajar seramai 43,385 orang.
“Bagi sekolah menengah pula, pelajar tingkatan dua merekodkan jumlah pelajar tertinggi iaitu seramai 45,607 orang dan kelas peralihan merekodkan jumlah pelajar seramai 410 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Sabah Media di sini pada Ahad.
Katanya, jumlah keseluruhan pelajar yang akan memulakan sesi persekolahan esok tidak termasuk sekolah khusus dan kelas khas.
Sementara itu, ditanya sekolah yang masih dilanda banjir atau bencana alam, Raisin berkata, sekolah yang terjejas perlu mengadakan sesi pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) atau menggantikan kelas pada hari Sabtu.
“Saya difahamkan ada satu sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Tenom yang runtuh kawasan sekolah tidak dapat beroperasi esok kerana atas nasihat Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah ia tidak selamat,” katanya. – SABAH MEDIA






