KINABATANGAN: Seramai 48,722 pengundi berdaftar direkodkan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.187 Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Lamag, menurut statistik terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Daripada jumlah itu, seramai 48,526 merupakan pengundi biasa manakala 196 pengundi awal terdiri daripada anggota keselamatan. Selain itu, seramai 251 pengundi pos direkodkan bagi Parlimen Kinabatangan dan 195 bagi DUN Lamag.
SPR memaklumkan hari penamaan calon telah berlangsung pada 10 Januari 2026, diikuti hari undi awal pada 20 Januari dan hari mengundi pada 24 Januari 2026.
Sebanyak 37 pusat mengundi akan dibuka, merangkumi satu pusat undi awal dan 36 pusat undi biasa, dengan keseluruhan 118 saluran mengundi. Seramai 1,106 petugas pilihan raya akan ditugaskan bagi mengendalikan proses pengundian.
Dari segi demografi, peratusan pengundi lelaki dan perempuan adalah hampir seimbang, manakala pengundi orang kurang upaya (OKU) mencatat sekitar 1.5 peratus daripada jumlah keseluruhan. Kumpulan umur terbesar adalah antara 31 hingga 45 tahun.
Bagi Parlimen Kinabatangan, tiga calon bertanding iaitu Saddi bin Abdu Rahman (66), Goldam bin Hamid (39) dan Mohd Kurniawan Naim bin Moktar (31). Untuk DUN Lamag pula, dua calon bertanding iaitu Mazliwati binti Abdul Malek (52) dan Mohd Ismail bin Ayob (44).
Antara daerah mengundi dengan jumlah pemilih tertinggi ialah Kota Kinabatangan dan Bukit Garam, manakala antara yang terendah termasuk Balat dan Abai.
SPR memaklumkan setakat laporan dikemas kini pada 19 Januari 2026, tiada kesalahan pilihan raya, laporan polis atau aduan kepada SPRM direkodkan sepanjang tempoh kempen.







