Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

44 murid SK Sembulan sertai program khatan beramai-ramai

Read Time:1 Minute, 56 Second

KOTA KINABALU: Seramai 44 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan di sini menyertai Program Khatan Beramai-ramai 2025 yang dianjurkan oleh pihak sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Program yang disempurnakan Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Sabah Datuk Mohammad Arif Sakaran itu itu sekali gus mencerminkan komitmen berterusan sekolah dalam menjaga kebajikan murid dan keluarga.

Katanya, program tahunan yang melibatkan murid Tahun Empat hingga Tahun Enam itu kini memasuki tahun ke-13 penganjurannya sejak 2012.

Ketika ditemui, Arif menyifatkan penganjuran program berkenaan sebagai satu inisiatif yang amat baik serta mendapat sambutan luar biasa daripada ibu bapa.

“Berkhatan merupakan satu ibadah wajib bagi lelaki Muslim. Justeru, saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada pihak sekolah serta PIBG kerana berjaya menganjurkan program yang bukan sahaja memberi manfaat kepada murid, malah meringankan beban kewangan ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama erat antara pihak sekolah, PIBG dan pihak hospital membolehkan proses berkhatan dilaksanakan dengan lancar tanpa ibu bapa perlu mencari pusat berkhatan di luar.

Dalam pada itu, Arif turut menasihatkan para pelajar agar memanfaatkan cuti sekolah dengan sebaiknya melalui pengisian aktiviti yang berfaedah serta memberi manfaat kepada diri, keluarga dan masa depan.

Beliau berkata, cuti sekolah bukan sekadar masa untuk berehat, sebaliknya peluang terbaik untuk pelajar memperkukuhkan hubungan kekeluargaan, meningkatkan pencapaian akademik serta membina sahsiah diri.

Menurutnya, pelajar digalakkan meluangkan masa berkualiti bersama ibu bapa dan ahli keluarga dengan membantu urusan di rumah serta mengeratkan silaturahim sebagai tanda menghargai pengorbanan ibu bapa dalam membesarkan dan mendidik anak-anak.

Selain itu, Arif mengingatkan pelajar agar tidak mengabaikan pelajaran sepanjang tempoh cuti.

Katanya, masa lapang wajar dimanfaatkan untuk mengulang kaji pelajaran, membaca bahan ilmiah dan membuat persediaan awal bagi menghadapi sesi persekolahan yang akan datang.

Dalam aspek keselamatan, beliau menegaskan agar pelajar sentiasa berhati-hati dan mengutamakan keselamatan diri, khususnya ketika melakukan aktiviti luar.

“Pelajar dinasihatkan supaya mengelakkan kawasan berisiko seperti kawasan banjir, sungai berarus deras atau mana-mana lokasi yang boleh mengancam keselamatan,” katanya.

Pada masa sama, Arif turut menyarankan ibu bapa agar memainkan peranan memantau penggunaan gajet dan media sosial anak-anak bagi memastikan ia digunakan secara berhemah serta tidak melalaikan.

Beliau berharap cuti sekolah kali ini dapat diisi dengan aktiviti yang bermanfaat, selamat dan berunsur pendidikan, sekali gus membantu melahirkan generasi pelajar yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan kesejahteraan diri. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE