Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

36 warga asing dipenjara atas pelbagai kesalahan imigresen


KOTA KINABALU: Seramai 36 pendatang asing tanpa izin (PATI) dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Daripada jumlah itu, 28 individu masing-masing dijatuhi hukuman penjara selama empat bulan selepas didapati bersalah memasuki Sabah tanpa dokumen perjalanan yang sah, kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Enam warga asing pula dihukum mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa di Sabah, dengan dua daripadanya dipenjara selama 12 bulan, seorang dipenjara enam bulan, manakala tiga lagi dikenakan denda RM10,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda.

Sementara itu, dua lagi warga asing dijatuhi hukuman penjara selama 10 bulan selepas didapati bersalah memasuki Sabah tanpa dokumen sah dan masuk semula ke negeri ini tanpa dokumen selepas diusir.

Kesemua tertuduh ditahan di beberapa lokasi berasingan di negeri ini pada Oktober tahun lalu.

Mahkamah turut memerintahkan kesemua tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia bagi tujuan pengusiran selepas tamat tempoh hukuman masing-masing.

Pengawai Pendakwa, Norhayati Abdul Hari mengendalikan pendakwaan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Hurman Hussain.

LEAVE A RESPONSE