Read Time:1 Minute, 57 Second
RANAU : Sebanyak 32 pasukan bolasepak berentap merebut kejuaraan dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Sebomeo yang diadakan di Kompleks Sukan Ranau bermula pada Sabtu.
Kejohanan anjuran Kelab Liverpool FC Supporters Ranau itu berlangsung selama dua hari dan melibatkan penyertaan pasukan-pasukan dari Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan Indonesia.
Majlis perasmian kejohanan tersebut dirasmikan oleh Datuk Seri Masidi Manjun yang menyifatkan penganjuran tersebut sesuatu yang juga dapat mengharumkan nama daerah Ranau.
Dalam ucapannya, beliau memberitahu bahawa Kejohanan Bola Sepak Piala Sebomeo mula dianjurkan sejak tahun 2017 dan kini memasuki edisi ke-9 pada tahun 2025.
“Daerah Ranau telah diberi penghormatan sebagai tuan rumah pada kali ini dan ia adalah sesuatu yang amat membanggakan komuniti setempat.
“Kejohanan ini bukan sahaja melibatkan pasukan dari Sabah, tetapl turut disertai sebanyak 32 pasukan luar negara seperti Kalimantan Indonesia dan Brunei Darussalam.
“Bagi edisi kali ini, kita jangkakan akan menerima kehadiran hampir 1,000 orang pengunjung dari dalam dan luar negara,” katanya.
Masidi menambah, kejohanan ini diharap dapat terus
diperkembangkan, termasuk dengan cadangan menjemput pasukan dari luar Kepulauan Borneo pada masa hadapan, sekaligus menjadikannya bertaraf antarabangsa.
Menurutnya lagi, antara lain objektif acara ini diadakan ialah bagi melahirkan generasi yang sihat fizikal dan mental serta seimbang dari segi intelek, sukan, emosi dan sosial.
“Ia juga bagi mencungkil bakat baharu dalam sukan bola sepak di peringkat negeri dan serantau, di samping membina, memupuk dan menyuburkan semangat kesukanan di kalangan pasukan bola sepak Sabah, Sarawak, Brunei dan Indonesia.
“Kejohanan ini juga dapat mengeratkan silaturrahim dan hubungan mesra masyarakat berbilang kaum di
seluruh Kepulauan Bomeo,” katanya yang diwakili oleh penyandang Adun Dilantik, Datuk Amisah Yassin.
Bagi konteks pentadbiran setempat, tambahnya ia juga mampu membantu pihak kerajaan dalam sektor pelancongan dengan mempromosikan destinasi menarik di Daerah Ranau seperti Gunung Kinabalu, Desa Castle, Taman Air Panas Poring, Tagal Fish Spa Kg Luanti, Sabah Tea, dan lain-lain tarikan pelancongan.
“Ia dapat membantu pihak kerajaan dalam merancakkan sosioekonomi di Daerah Ranau khususnya kepada pengusaha homestay, hotel, restoran, pasar raya, kedai runcit
dan kraftangan.
“Kejohanan ini juga akan dapat meningkatkan imej Ranau sebagai destinasi sukan dan pelancongan di peringkat negeri dan antarabangsa,” jelas beliau.
Kejohanan Bola Sepak Piala Sebomeo Kali ke-9 diyakini mampu memberi impak positif kepada pembangunan sukan bola sepak selain memperkukuh hubungan serantau, serta merancakkan ekonomi dan pelancongan Ranau.
Justeru, sokongan dan kerjasama semua pihak amat diharapkan agar kejohanan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.