KOTA MARUDU: Tiga warga Filipina dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM220,000 setiap seorang oleh Mahkamah Kota Marudu hari ini selepas didapati bersalah memiliki 865 kilogram hasil penyu hijau (Chelonia mydas).
Mereka ditahan pada 27 September 2023 di perairan Simpang Mengayau, Kudat oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), sebelum diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan lanjut.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Gagal membayar denda akan mengakibatkan tambahan hukuman penjara lapan bulan.
Majistret A.Akhiruddin Acho menjatuhkan hukuman itu keatas Erwin Monares Comendo, 39, Rudyzon Darol Infante, 37 dab Arnel Meniano Getes, 52.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Mohd. Soffian Abu Bakar berkata, kejayaan itu hasil kerjasama strategik antara agensi penguat kuasa.
“Tindakan pantas Maritim Malaysia berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan dan menunjukkan komitmen berterusan kita melindungi spesies marin terancam, khususnya penyu hijau,” katanya.