24 pembeli lot kedai komersial Projek Century Plaza Papar tuntut hak geran tertangguh selama 20 tahun
Read Time:2 Minute, 18 Second
Oleh Rhea Dharmin
PAPAR: Seramai 24 orang pembeli lot kedai komersial Projek Century Plaza Papar menanti selama hampir 20 tahun untuk mendapatkan geran milikan individu berikutan kegagalan syarikat pemaju, PMSB Ventures Sdn Bhd untuk menguruskan proses pecah bahagian geran dan permohonan geran individu.
Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali mendedahkan projek Fasa I yang merangkumi 32 unit lot kedai terbabit telah siap pada 2006 dengan Sijil Menduduki (OC) dikeluarkan pada 4 September tahun yang sama.
Katanya, 24 orang pembeli tersebut telah tampil memohon bantuan melalui pejabat pihaknya dimana dengan sebahagian besar daripada mereka telah membuat pembelian seawal tahun 2004.
Mengulas lanjut, menurutnya daripada jumlah terbabit, 19 orang telah menyelesaikan sepenuhnya pinjaman bank, manakala dua pembeli asal telah meninggal dunia.
“Dalam perjanjian jual beli, adalah menjadi tanggungjawab pemaju untuk menguruskan proses pecah bahagian geran dan permohonan geran individu. Namun, segala usaha pembeli untuk berhubung dengan pihak pemaju sejak sekian lama tidak mendapat sebarang maklum balas.
“Saya telah meminta pihak pemaju mengadakan perjumpaan bersama saya dan wakil kumpulan pembeli serta agensi-agensi kerajaan berkaitan pada Isnin lalu, 27 Oktober lepas. Namun amat mendukacitakan, tidak ada seorang pun wakil pemaju atau peguam mereka hadir dalam perjumpaan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan bertempat di pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kawang, di sini, hari ini.
Sehubungan dengan itu, Armizan mengesahkan pihaknya telah meminta firma guaman Tetuan Zainal & Associates untuk mengambil tindakan selanjutnya bagi mewakili 24 orang pembeli terbabit.
“Ini termasuk mempertimbangkan tindakan undang-undang mengikut perjanjian jual beli sekiranya pihak pemaju tidak memberikan sebarang respons dalam tempoh 14 hari.
“Adalah diharapkan pihak pemaju dan Majlis Daerah Papar selaku pemilik tanah dapat mengambil tindakan segera memaklumkan para pembeli tentang sebarang perkembangan sekaligus menunaikan tanggungjawab untuk memenuhi hak para pembeli sebagaimana yang terkandung dalam perjanjian jual beli,” katanya.
Dalam pada itu, Armizan yang juga merupakan Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan antara komitmen Kerajaan GRS adalah untuk memperkasa perlindungan hak pembeli melalui reformasi undang-undang berkaitan hartanah.
Katanya, kajian dan semakan kerangka perundangan berkaitan telah dimulakan dimana reformasi terbabit dijangka dilaksanakan pada penghujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun hadapan.
Memperincikan perkara terbabit, beliau berkata antara tindakan yang telah dikenal pasti adalah Pindaan kepada Enakmen Tanah (Hakmilik Subsidiari) 1972 atau pemansuhan dan penggubalan enakmen berkaitan yang Baharu serta penggubalan undang-undang baharu melibatkan Enakmen Pengurusan Bangunan 2025.
“Reformasi perundangan ini bertujuan untuk memenuhi perkembangan sektor hartanah, termasuk Pembangunan strata di Sabah, dengan objektif utama untuk menyelesaikan isu kelewatan pengeluaran hakmilik dan mempercepatkan pembentukan perbadanan pengurusan.
“Selain itu, ini turut menangani isu penyelenggaraan bangunan dan mewujudkan Pesuruhjaya Bangunan (Building Commissioner).
“Inisiatif menambah baik undang-undang hartanah ini merupakan sebahagian daripada strategi yang digariskan di bawah Agenda Reformasi Undang-Undang dan Institusi yang terkandung dalam Manifesto GRS,” katanya.






