Read Time:2 Minute, 3 Second
KOTA KINABALU : Sebanyak 207 tan sampah berjaya dikutip menerusi operasi pembersihan perairan melibatkan laut, sungai dan persisiran sekitar bandar raya Kota Kinabalu yang dijalankan selama 10 hari sehingga Selasa lalu.
Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi itu turut melibatkan kawasan kepulauan serta kampung-kampung di persisiran.
Menurut DBKK, daripada jumlah itu, sebanyak 60 tan merupakan sampah yang terapung di perairan laut dan telah dibersihkan menggunakan skimmer boat dan bot pengangkutan sampah.
“Bagi pembersihan di daratan, tumpuan telah diberikan terhadap pematuhan jadual pengutipan sisa pepejal, penyelesaian aduan awam serta pengurusan dan pelupusan sampah haram di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti.

” Sebanyak 56 Ops Bersih di seluruh kawasan pusat bandar telah dilaksanakan yang menyaksikan sebanyak 127 kompaun dikeluarkan di bawah Undang-undang Kecil (UUK) Bandaraya Kota Kinabalu (Anti Sampah Sarap) 1984, Pindaan 2005 melibatkan jumlah kutipan sebanyak RM2,540,” menurut kenyataan itu di sini.
DBKK turut melaksanakan pembersihan awam secara intensif, khususnya di kawasan tumpuan pelancong termasuklah jalan utama, lorong serta kawasan awam di pusat bandar dan luar bandar bagi memastikan persekitaran yang bersih, selesa dan teratur.
Menurut kenyataan itu lagi, sekitar 71 tan sampah haram telah berjaya dibersihkan dalam tempoh operasi dijalankan.
Walau bagaimanapun, DBKK mendapati masih wujud sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengunjung yang meninggalkan bekas makanan dan sisa sampah di merata-rata tempat, atau melupuskan sisa pukal secara terus ke rumah-rumah sampah.
“Keadaan ini telah menyebabkan lambakan sampah yang tinggi serta membebankan perkhidmatan pengutipan sampah sedia ada.
” Penduduk di Bandaraya Kota Kinabalu diingatkan untuk menggunakan rumah sampah bagi pelupusan sisa domestik seperti sampah dapur dan sisa harian sahaja, manakala sisa pukal, sisa kebun dan sisa lain hendaklah diuruskan menggunakan khidmat syarikat luar, aplikasi iBersih, amalan pengasingan sisa boleh kitar semula atau dilupuskan terus ke tapak pelupusan yang dibenarkan,” tambah kenyataan itu lagi.
Sementara itu, DBKK menambah, sebagai langkah sokongan, JPSP turut melaksanakan Program iBersih Turun Padang Bersama Komuniti bagi menggalakkan amalan pengurusan sisa pukal dan sisa kebun secara berhemah.
Program ini telah dilaksanakan sebanyak tiga siri meliputi sebanyak 2,120 unit rumah melalui kaedah hebahan serta penerangan secara pintu ke pintu.
” Pelaksanaan usaha pembersihan secara berterusan ini menjadi cerminan komitmen DBKK dalam memastikan Bandaraya Kota Kinabalu kekal bersih, selesa dan lestari.
“Namun, usaha ini memerlukan kerjasama dan tanggungjawab bersama daripada seluruh komuniti,” menurut DBKK.
Orang awam diseru untuk terus patuh kepada peraturan pengurusan sisa, menggunakan kemudahan pelupusan dengan betul selain memelihara kelestarian bandar demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang.






