Read Time:1 Minute, 15 Second
KOTA KINABALU: Sebanyak 207 kes kebakaran terbuka dilaporkan berlaku di Sabah bagi tempoh 1 Januari hingga 1 April 2026.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah itu melibatkan lima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) yang merekodkan jumlah kes tertinggi setakat ini.
Menurut JBPM Sabah, antara BBP terlibat adalah di Tuaran; Lintas; Kimanis; Papar dan Putatan.

“BBP Tuaran mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 74 kejadian, diikuti BBP Lintas sebanyak 40 kes.
“Sementara itu, BBP Kimanis merekodkan 32 kes, BBP Papar sebanyak 31 kes dan BBP Putatan mencatatkan 30 kes dalam tempoh sama,” menurut kenyataan itu di sini pada Rabu.
Tambah JBPM Sabah, kebakaran terbuka yang berlaku kebanyakannya melibatkan pembakaran belukar, kawasan lapang serta tapak pelupusan sampah tidak terkawal, terutama ketika cuaca panas dan kering.
Katanya, trend peningkatan kes di beberapa kawasan membimbangkan kerana ia bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, malah boleh merebak dan mengancam keselamatan penduduk berhampiran.
“Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka secara sewenang-wenangnya, selain segera melaporkan sebarang kejadian kebakaran kepada pihak bomba bagi tindakan pantas,” menurut kenyataan itu.
JBPM Sabah turut menegaskan tindakan tegas boleh diambil terhadap individu yang didapati melakukan pembakaran terbuka sehingga menyebabkan kebakaran tidak terkawal.
“Kesalahan dan denda adalah dibawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 selain denda maksumum RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya,” tambah kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, kerjasama masyarakat amat diperlukan dalam usaha mengurangkan kes kebakaran terbuka, sekali gus memastikan keselamatan dan kesejahteraan awam terus terpelihara.






