Read Time:1 Minute, 19 Second
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata tahun 2026 membuka lembaran baharu untuk kita terus maju ke hadapan dengan keazaman yang kuat dan semangat kebersamaan.
Beliau berkata, kerajaan negeri bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang holistik, inklusif dan komprehensif, bagi memastikan kemakmuran yang berterusan serta masa depan yang lebih cerah dan berdaya saing untuk Sabah.
“Mengimbas kembali tahun 2025, ia adalah tahun yang baik, dibina atas asas pembangunan yang kukuh dan kemajuan yang konsisten melalui pelaksanaan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0.
“Kerajaan Negeri akan meneruskan landasan ini menerusi Hala Tuju SMJ 2.0, dengan memperkukuhkan komitmen kami terhadap perpaduan, kemakmuran dan pembangunan inklusif, agar kemajuan yang dicapai dapat dinikmati secara adil oleh seluruh rakyat Sabah,” katanya dalam perutusan Tahum Baharu 2026, di sini hari ini.
Ketua Menteri sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Sabah atas mandat baharu yang diberikan untuk terus memimpin negeri ini.
“Kami amat menghargai kepercayaan dan sokongan ini dan ia adalah satu amanah besar yang akan kami laksanakan dengan penuh akauntabiliti dan tanggungjawab.
“Dengan mandat yang baharu ini, Kerajaan Negeri kekal komited untuk memperkukuh tadbir urus, memastikan kestabilan politik yang berterusan, dan memacu pembangunan komprehensif untuk kesejahteraan rakyat.
“Sepanjang lima tahun yang lalu, usaha berterusan untuk mewujudkan kestabilan dan persekitaran yang kondusif telah membuahkan hasil yang ketara dan memberi manfaat kepada negeri,” katanya.
Ketua Menteri berharap semua rakyat Sabah dikurniakan kesihatan yang baik, kesejahteraan dan kejayaan.
“Bersama-sama rakan jemaah menteri Kabinet negeri, saya dengan penuh keikhlasan mengucapkan selamat menyambut tahun baharu kepada semua,” tambahnya.






