Read Time:1 Minute, 34 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Kira-kira 20,000 pengunjung hadir memeriahkan sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri Sabah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Sabtu.
Majlis itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman dan isteri Toh Puan Faridah Tussin serta Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri Datin Seri Juliah Salag.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Pada majlis itu, Hajiji turut menyampaikan menyampaikan duit raya kepada golongan asnaf sebelum beramah mesra dengan tetamu di bahagian awam.
Ketika ditemui Hajiji menyifatkan sambutan itu adalah sebagai ruang untuk meraikan perayaan bersama rakyat berbilang kaum di Sabah.
“Kerajaan negeri adakan setiap tahun dan sudah menjadi tradisi kita mengadakan sambutan perayaan Aidilfitri, rumah terbuka seumpama ini.

“Majlis ini bagi memberi ruang dan peluang kepada rakyat pelbagai kaum, bukan saja masyarakat Islam tetapi lain-lain anutan kepercayaanpun saya nampak ramai datang.
“Ini adalah sesuatu yang cukup baik untuk negeri kita yang berbilang kaum ini. Kita gunakan peluang ini untuk merapatkan lagi silaturahim di antara satu sama lain,” katanya.
Sementara itu, Arifin yang juga Pengerusi Penganjur berkata, sambutan yang dianjurkan berjaya menghimpunkan ribuan pengunjung melebihi jangkaan, sekali gus mencerminkan keinginan rakyat untuk bersama-sama meraikan Aidilfitri dalam suasana harmoni.

“Alhamdulillah, sambutan pada tahun ini amat menggalakkan. Kita dapat lihat rakyat daripada pelbagai latar belakang hadir bersama-sama tanpa mengira agama, kaum dan fahaman,” katanya.
Menurutnya, penganjuran itu juga memberi fokus kepada penglibatan usahawan tempatan apabila seramai 71 usahawan dan 15 hotel dipilih untuk menyediakan pelbagai juadah kepada pengunjung.
“Inisiatif ini bukan sahaja memeriahkan sambutan, tetapi turut membuka peluang ekonomi kepada usahawan tempatan untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa tema Aidilfitri sebagai wadah perpaduan berjaya direalisasikan melalui sambutan tersebut, sekali gus mengukuhkan lagi keharmonian masyarakat di Sabah. – SABAH MEDIA






