Read Time:1 Minute, 30 Second
Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Seramai 1,784,843 pemilih layak mengundi pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17, berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang dikemaskini sehingga 5 Oktober 2025, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 1,760,417 adalah pengundi biasa, 11,697 anggota tentera dan pasangan, manakala 12,729 terdiri daripada anggota polis serta pasangan Pasukan Gerakan Am (PGA).
” Pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian seperti pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan melalui portal https://mysprsemak.spr.gov.my, aplikasi MySPR Semak atau menghubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018, yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8 malam setiap hari.
“Bagi melancarkan proses penamaan calon, SPR menggalakkan bakal calon membuat pengisian serta semakan awal borang dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri sebelum Hari Penamaan Calon, termasuk membuat pembayaran deposit lebih awal.
” Namun, kertas penamaan calon yang lengkap diisi dan telah disemak tetap perlu dikemukakan oleh calon, pencadang atau penyokong pada Hari Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon (PPC) yang ditetapkan SPR,” katanya.
Tambahnya lagi, SPR turut membuka peluang kepada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mana-mana badan berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya bagi mengikuti perjalanan PRU DUN Sabah ke-17, bermula dari hari penamaan calon hingga keputusan diumumkan.
“Permohonan boleh dibuat melalui portal SPR mulai 9 Oktober 2025 dan ditutup pada 27 Oktober 2025.
” Seperti pilihan raya sebelum ini, SPR akan meneruskan penyiaran secara langsung proses pilihan raya menerusi live streaming di Facebook SPR bagi pusat atau saluran mengundi terpilih,” katanya.
Bagi menggalakkan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab, SPR melaksanakan kempen ‘Jom Kita Undi’ melalui pelbagai medium termasuk media elektronik, media sosial, hebahan siar raya dan pemasangan kain rentang di lokasi tumpuan awam yang bersesuaian.