Read Time:1 Minute, 58 Second
KOTA KINABALU: Sebanyak 15 kek dipersembahkan kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman sempena Majlis Penyampaian Kek Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung di Istana Seri Kinabalu, di sini pada Rabu.
Semua kek tersebut akan disumbang kepada institusi-institusi kebajikan serta rumah anak yatim di sekitar Kota Kinabalu dan daerah berhampiran.
Tun Musa yang diiringi isteri, Toh Puan Faridah Tussin berkenan menghadiri majlis berkenaan bagi menyaksikan sendiri persembahan kek sambil beramah mesra dengan wakil hotel, pertubuhan serta institusi pendidikan tinggi yang terlibat.
Dalam pada itu, Tun Musa merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan majlis tersebut dan menyifatkannya sebagai manifestasi semangat kebersamaan, keprihatinan serta keharmonian dalam kalangan masyarakat.
“Semoga usaha murni ini akan terus diperkukuhkan demi kesejahteraan rakyat Negeri Sabah,” katanya.
Antara yang mencuri perhatian ialah persembahan kek daripada Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) yang menampilkan konsep kurma berinspirasikan amalan berbuka puasa dalam Islam.
Chef de Partie Pastri SICC, Martha Edward Santani berkata, pemilihan tema kurma adalah signifikan memandangkan buah tersebut sinonim sebagai makanan sunnah yang sering dijadikan hidangan pertama ketika berbuka puasa.
Persembahan itu turut menampilkan elemen masjid yang melambangkan suasana Islamik, dengan kek seberat antara 90 kilogram menggunakan kira-kira 15 kilogram kurma premium serta dihiasi pelbagai biskut raya dan kek lapis.
Turut mencuri perhatian ialah kek daripada Sutera Harbour menampilkan rekaan diinspirasikan daripada Masjid Bandaraya Kota Kinabalu oleh Chef pastri, Kee Rosedyen Sidin menurutnya, sebagai simbolik keharmonian dan kemakmuran negeri, selain keunikan struktur masjid yang boleh berputar.
Jelasnya, kek berkenaan seberat kira-kira 100 kilogram disiapkan dalam tempoh lima hari dengan penglibatan tiga tenaga kerja serta menggabungkan elemen manisan berinspirasikan Timur Tengah dan sentuhan moden.
Sementara itu, program Pelancongan dan Hospitaliti, Universiti College Sabah Foundation (UCSF) tampil dengan konsep suasana Hari Raya Aidilfitri zaman dahulu yang menonjolkan elemen nostalgia sambutan perayaan di Sabah.
Naib Canselor UCSF, Datuk Dr. Rafiq Idris berkata, rekaan kek tersebut menampilkan imej masjid berunsur klasik bagi menggambarkan pengalaman masyarakat meraikan Aidilfitri pada era terdahulu.
Selain itu, Sheraton Hotel Kota Kinabalu turut menampilkan keunikan tersendiri menerusi persembahan kek berasaskan pulut kuning seberat 35 kilogram dan 15 kilogram rendang yang melambangkan kemakmuran dan kesyukuran.
Turut mempersembahkan kek dengan keunikan tersendiri ialah Ibis Hotel, Promenade Hotel Kota Kinabalu, The Palace Hotel, Hilton Hotel Kota Kinabalu, Shangri-La’s Tanjung Aru Resort, Nexus Resort Karambunai, Horizon Hotel, Majlis Datuk-Datuk Negeri Sabah, The Klagan Hotel, Le Meridien Hotel dan Hyatt Regency Hotel.






