Read Time:1 Minute, 0 Second
KENINGAU: Seramai 14 prospek Sekolah Henry Gurney (SHG) Keningau dilepaskan di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Madani Yakin bertemakan “Kepulangan Yang Dinanti” sempena perayaan Deepavali 2025 yang berlangsung pada Khamis.
Daripada jumlah itu, sembilan prospek akan menjalani PBSL dengan penempatan kerja bersama majikan, manakala lima lagi dibenarkan tinggal bersama keluarga masing-masing.
Majlis pelepasan itu disempurnakan oleh Pengarah SHG Keningau, PKP Sirajuddin Abdul Majid, yang turut menyampaikan amanat kepada prospek yang terlibat.
Dalam ucapannya, beliau menyeru agar peluang pelepasan tersebut dijadikan titik permulaan untuk membina kehidupan baharu sebagai individu yang berguna kepada keluarga, masyarakat dan negara.
“Gunakan peluang ini untuk membuktikan bahawa anda mampu berubah dan kembali ke pangkuan masyarakat sebagai insan yang lebih baik,” katanya.
Sirajuddin turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pelaksanaan program PBSL Madani Yakin bersempena perayaan Deepavali kali ini.
Program berkenaan bertujuan memberi peluang kepada banduan yang layak untuk menjalani baki hukuman di luar penjara bersama komuniti sebagai sebahagian daripada proses pemulihan dan integrasi semula ke dalam masyarakat.
Turut hadir Timbalan Pengarah SHG Keningau, Johari Chok Tang; Timbalan Penguasa Penjara dan Ketua Bahagian Korektif, Sharudin Tahir; serta Ketua Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti Daerah Pedalaman, Inspektor Penjara Stanley Jumin.