Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

1,237 peserta, empat negara sertai North Borneo Open 2025, cipta penanda baharu pelancongan sukan Sabah

Read Time:3 Minute, 0 Second

Oleh Raul G

TUARAN: Kejohanan North Borneo Open (NBO) Karate-Do 2025 Kali Ke-2 berjaya menarik seramai 1,237 peserta terdiri empat buah negara sekali gus menjadikannya platform sebagai pelancongan sukan dalam memperkenalkan Sabah di peringkat antarabangsa.

Acara yang dianjurkan Persatuan Shitoryu Sabah itu diadakan selama empat hari bermula 17 sehingga 20 Oktober lalu, di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Penampang.

Presiden Persatuan Shitoryu Sabah, Gesiri Gambung berkata, peserta terdiri Malaysia membabitkan Sabah, Sarawak, dan Semenanjung manakala luar negara disertai dari Brunei Darussalam, Filipina, dan Hong Kong.

“Penyertaaan acara kali ini adalah pencapaian baharu apabila jumlah keseluruhan peserta itu membabitkan 938 atlet bagi kategori yang disahkan dan tidak disahkan oleh Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), serta 299 lagi atlet dalam kategori Festival.

“Peserta seawal usia enam tahun hingga 70 tahun, menjadikan semangat perpaduan atlet tempatan dan antarabangsa di bawah sukan karate,” katanya ditemui pemberita di sini, hari ini.

Menurut Gesiri yang juga pengerusi penganjur acara berkenaan, pihaknya juga berterima kasih atas sokongan pihak Lembaga Pelancongan Sabah (STB).

“Atas sokongan itu, kejohanan ini sekali gus menjadi medan sebagai platform utama dalam usaha memperkenalkan karate dan Sabah sebagai sukan pelancongan kepada antarabangsa.

“Syabas, atas kerjasama semua pihak penganjur berikutan delegasi antarabangsa turut memuji tahap profesionalisme sepanjang acara ini selain dianggap antara kejohanan terbaik seluruh rantau,” ujarnya.

Gesiri menambah, acara berkenaan urut menerima pengesahan secara rasmi oleh MAKAF dan Persatuan Shitoryu Karatedo Malaysia (MASK) yang menjamin mutu teknikal dan pengadilan tahap tinggi.

“Seramai 1,500 penyertaan dianggarkan pada tahun hadapan melibatkan lapan negara termasuk Singapura, Indonesia, Vietnam dan China.

“Kesemua negara itu mempunyai laluan penerbangan sehala ke Kota Kinabalu dan pihak kami akan terus menjemput penyertaan dari negara lain bagi memperkukuh peranan Borneo sebagai hab pelancongan sukan dan budaya.

“Tahun 2026 akan menjadi bahagian terakhir dalam trilogi medallion kami, tempah tarikh anda, berlatih bersungguh-sungguh dan kembali lebih kuat kerana NBO2026 akan menjadi lebih besar, lebih hebat, dan lebih mengagumkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffery Jimit menyifatkan kejohanan terbabit menekankan sinergi antara sukan dan pelancongan dalam memperkenalkan Sabah di peringkat antarabangsa.

“Pihak STB menaja sebanyak RM20,000 dan kejohanan ini turut diiktiraf sebagai salah satu tarikan pelancongan utama Sabah sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Kami melihat sukan bukan sekadar pertandingan, tetapi sebagai pemangkin pelancongan, pemerkasaan belia dan kebanggaan komuniti,” ujar beliau sambil menyifatkan kejohanan itu sebagai contoh terbaik sebagai usaha mengangkat nama Sabah ke pentas dunia.

Terdahulu, sensei Frederick Adefuin, berasal Filipina menyatakan hasrat pasukannya untuk kembali setiap tahun.

Katanya, dia yang mewakili pasukan luar negara, mengakui ia merupakan kejohanan terbaik pernah disertai.

“Saya dan rakan, sensei Chun Ho Lee dari Be Smove Hong Kong, tertarik dengan layanan dan berpuas terhadap penganjuran yang bertaraf dunia di Sabah”.

“Penyelarasan yang cekap wajar dipuji dan kami akan kembali membawa delegasi lebih besar pada tahun hadapan, sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan antarabangsa kejohanan ini,

“Malahan, Kota Kinabalu merupakan bandar dan tuan rumah yang indah dan mesra. Kami berasa seperti satu keluarga besar sejajar dengan slogan NBO, ‘In Karate, We Are One Big Family’,” katanya.

Difahamkan, North Borneo Open 2026 (NBO2026) pada tahun hadapan akan diadakan selama tiga hari pada 28 hingga 30 Ogos 2026 di Kota Kinabalu, Sabah.

Persatuan Karatedo Negeri Sabah (SKA) muncul sebagai juara keseluruhan dengan 50 emas, 51 perak dan 76 gangsa, diikuti pasukan Karate Polis Diraja Malaysia (PDRM) (9 emas, 4 perak, 13 gangsa) dan MSN SSC Karate Sarawak (7 emas, 2 perak, 2 gangsa).

Turut diberi pengiktirafan khas melalui Anugerah Karate Lelaki Terbaik, Denzel Tavan Dane Cahilap dan Karate Wanita Terbaik, Nur Rasyiqah Fari’ah Ramzi. Kedua-dua mereka daripada Persatuan Karatedo Negeri Sabah (SKA).

LEAVE A RESPONSE