Read Time:2 Minute, 5 Second
KOTA KINABALU: Data Sektor Perkhidmatan Kesihatan Sekolah Negeri Sabah bagi tahun 2025 merekodkan sebanyak 12.4 peratus murid gagal dalam ujian saringan penglihatan yang dijalankan di sekolah-sekolah seluruh negeri.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Dr William Gotulis berkata, daripada jumlah itu, hanya 40.5 peratus hadir ke temujanji pemeriksaan lanjut bersama pegawai optometri.
Beliau berkata situasi itu menunjukkan masih terdapat keperluan untuk memperkukuh usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mata serta rawatan awal.

“Kita sedia maklum sebahagian besar masalah penglihatan boleh dicegah atau dirawat lebih awal sekiranya masyarakat mendapatkan pemeriksaan mata secara berkala.
“Masalah seperti rabun, mata malas dan penyakit mata kronik sering kali tidak menunjukkan gejala pada peringkat awal sehingga mencapai tahap yang lebih serius,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Optometri Sedunia Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hospital Queen Elizabeth I, di sini.
Menurutnya, sikap menunggu sehingga masalah penglihatan menjadi serius sebelum mendapatkan rawatan perlu diubah kerana kehilangan penglihatan sebenarnya boleh dicegah melalui pemeriksaan dan rawatan awal.
“Malangnya ramai masih mengamalkan sikap tunggu sehingga teruk sebelum mendapatkan pemeriksaan. Sikap ini perlu diubah kerana kehilangan penglihatan boleh dicegah dengan rawatan awal,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan yang lebih proaktif, bersepadu dan berfokus kepada komuniti amat diperlukan bagi memastikan semua rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan penjagaan mata yang berkualiti.
Menurutnya, di Sabah faktor geografi, akses kepada perkhidmatan kesihatan serta tahap literasi kesihatan turut memberi kesan kepada pengesanan awal dan rawatan susulan bagi masalah penglihatan.
“Data kebangsaan menunjukkan rabun tidak dibetulkan dan katarak masih menjadi penyumbang utama kepada masalah penglihatan.
“Selain itu, peningkatan kes rabun jauh atau myopia dalam kalangan kanak-kanak dan remaja juga semakin membimbangkan,” katanya.
Beliau berkata isu kesihatan mata kekal sebagai cabaran kesihatan awam di peringkat global dan nasional.
Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan kira-kira 2.2 bilion penduduk dunia mengalami masalah penglihatan, dengan hampir 80 peratus daripadanya sebenarnya boleh dicegah atau dirawat.
Sementara itu, sambutan Hari Optometri Sedunia peringkat negeri itu turut menjadi platform mengiktiraf peranan penting profesion optometri dalam sistem penjagaan kesihatan awam.
Pada majlis sama turut dilancarkan e-buku “Tentang Mata”, iaitu satu inisiatif pendidikan kesihatan dalam format digital yang dibangunkan oleh pegawai optometri Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Turut hadir Pengarah Hospital Queen Elizabeth I, Datuk Dr Abd Kahar Abd Asis; Ketua Profesion Optometri KKM, Nazirin Arsad; Ketua Perkhidmatan Oftalmologi dan Jabatan Oftalmologi hospital berkenaan, Dr Sheena Mary Alexander; serta Ketua Bidang Optometri Negeri Sabah, Diana Mohamed.






