KOTA KINABALU: Seramai 1,070 penduduk yang terjejas banjir di Sabah melibatkan 376 keluarga dipindahkan ke 10 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) setakat jam 8 malam tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan memaklumkan, daerah terjejas banjir adalah di Kota Marudu dan Pitas, membabitkan keseluruhan 38 kampung terjejas.
Daerah Pitas mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 780 orang daripada 286 keluarga melibatkan 30 kampung, dengan trend jumlah mangsa dilaporkan meningkat.
Antara PPS yang dibuka di daerah itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Rukom Ulu, Dewan Majlis Daerah, Dewan Kusilad, Dewan Kabatasan dan SK Salimpodon Darat yang menunjukkan peningkatan jumlah mangsa.
Turut dibuka ialah SK Pekan II dan SK Dandun yang masih dalam proses pendaftaran.
Sementara itu, di Kota Marudu, seramai 290 mangsa daripada 90 KIR dipindahkan melibatkan lapan kampung dengan keadaan dilaporkan kekal.
PPS yang dibuka termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek 2, SMK Tandek dan SK Taritipan.
Pihak berkuasa melalui Pusat Kawalan Bencana Negeri terus memantau situasi semasa dan akan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa.
Penduduk di kawasan rendah dan berisiko dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan terjamin.






