PUTRAJAYA: Siasatan segera akan dilaksanakan untuk mengenal pasti punca banjir puing di Bukit Tinggi, Bentong malam semalam susulan terdapat dakwaan mengatakan kejadian berlaku disebabkan kegiatan penerokaan haram di sekitar kawasan hutan simpan, di situ.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pada masa sama, tindakan segera membaik pulih infrastruktur juga sedang dijalankan selain kerja-kerja pembersihan sisa batuan dan enapan di kawasan banjir.

Bagaimanapun katanya, kerja-kerja pembersihan itu dijangka memakan masa lebih kurang sebulan kerana ia melibatkan proses mengalih batuan besar dan enapan di dalam aliran sungai.

“Langkah mitigasi jangka panjang turut dicadangkan bagi menangani masalah berulang termasuk pelaksanaan kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) Daerah Bentong yang meliputi kawasan bencana itu,“ katanya ringkas kepada media selepas Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Nik Nazmi pada pagi tadi sempat turun padang ke Bukit Tinggi bersama Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman bagi meninjau kesan insiden itu.

Terdahulu beliau dalam catatan Facebook rasmi berkata kenaikan aras air telah menyebabkan aliran air deras dan kerosakan kepada kenderaan dan harta benda.

“Saya akan mendapatkan laporan terperinci sebelum melihat opsyen-opsyen penyelesaian terbaik. Tapak-tapak air terjun sudah ditutup daripada dikunjungi orang ramai. Saya berharap orang ramai juga mengelak dari tapak-tapak perkhemahan di cerun dan tepi sungai ketika musim hujan ini demi keselamatan semua,“ katanya.

Kejadian banjir di Bukit Tinggi itu yang tular menerusi media sosial sejak malam semalam menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai yang ingin berkunjung ke kawasan berkenaan dan Janda Baik, sehingga ada yang bertindak membatalkan percutian dan tempahan chalet. – Bernama


By Staff Malaysia News Todays

Malaysia News Todays! National, Regional and World News. follow us for info latest everyday!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *