KOTA KINABALU: Helah penyeludup menjadikan rumah kosong sebagai tempat penyimpanan sementara rokok dan minuman keras sebelum dijual, terbongkar selepas diserbu polis, menerusi Op Kontraban, semalam.

Serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bontoi, Tamparuli di sini, jam 3.40 petang.

Ketua JSJ Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC), Azmi Abd Rahim berkata, serbuan berkenaan hasil risikan dan pemantauan kerana disyaki dijadikan tempat penyimpanan rokok dan minuman beralkohol pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai Kastam.

“Pasukan serbuan kemudiannya menghampiri rumah berkenaan dan menahan seorang lelaki berusia 58 tahun yang dalam keadaan mencurigakan di hadapan rumah berkenaan.

“Soal siasat suspek mengaku sebagai penjaga rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Minuman keras tanpa cukai yang disorok di dalam rumah kosong di Kampung Kampung Bontoi, Tamparuli diserbu polis. – Foto/PDRM

Menurutnya, bertindak atas pendedahan suspek, pasukan serbuan berjaya menjalankan rampasan ke atas rokok dan minuman beralkohol pelbagai jenama yang disyaki tidak bercukai.

“Suspek mempunyai dua jenayah lampau berkaitan dadah dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah hampir RM30,000.

“Tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – Info X

By Staff Malaysia News Todays

Malaysia News Todays! National, Regional and World News. follow us for info latest everyday!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *