KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan daripada Naib Presiden Repubik Indonesia Dr Ma’ruf Amin di sebuah hotel terkemuka di sini malam ini.

Anwar berkata perkara yang dibincangkan ialah langkah untuk mengukuhkan tekad dan muafakat antara dua negara serumpun selain pelbagai isu yang menjadi kepentingan bersama antaranya pelaburan, perdagangan serta tenaga kerja Indonesia.

“Kami juga senada untuk memastikan isu berbangkit melibatkan kedua-dua negara dapat diselesaikan sesegera mungkin,“ menurut beliau dalam kenyataan selepas meluangkan masa kira-kira 20 minit pada pertemuan itu.

Perdana Menteri berkata Ma’ruf turut menyentuh isu Palestin dan memaklumkan bahawa Hospital Indonesia di Gaza terpaksa dikosongkan selepas diserang rejim Zionis Israel.

Beliau berkata kenyataan tegas bersama Presiden Joko Widodo berkaitan isu Palestin juga telah diutarakan di hadapan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden semasa persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023 di San Francisco baru-baru ini.

“Dalam pertemuan ini, Bapak Ma’ruf Amin turut memuji Kerajaan MADANI yang kini bertambah kukuh dan stabil seraya berharap Malaysia dan Indonesia dapat bergerak sederap pada masa mendatang.

“Doakan agar hubungan kedua-dua negara terus mekar sekali gus membawa manfaat kepada rakyat keseluruhannya, insya-Allah,“ katanya.

Selepas pertemuan itu, kedua-dua pemimpin menghadiri makan malam gala Forum Perniagaan Muslim Global (GMBF) 2023 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching dan dijadual menyampaikan ucaptama perasmian pada majlis tersebut.

Edisi kedua GMBF, yang berlangsung mulai hari ini hingga 30 Nov, adalah bertujuan merapatkan hubungan perniagaan dunia Islam dengan menjalinkan hubungan dan perkongsian yang lebih kukuh di seluruh dunia. –Bernama


By Staff Malaysia News Todays

Malaysia News Todays! National, Regional and World News. follow us for info latest everyday!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *