KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) — Enam anggota polis antara tujuh yang ditahan selepas disyaki memproses dan mengedar air ketum dalam operasi berasingan minggu lepas dan semalam di sekitar ibu negara.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata empat anggota polis tersebut ditahan Pasukan Cawangan Risikan/ Operasi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman di sebuah kediaman di Jalan Puchong di sini, pada Khamis lepas.

“Mereka yang berusia antara  24 hingga 38 tahun itu ditahan bersama daun ketum yang dianggarkan seberat 18 kilogram (kg) dan air ketum kira-kira 13,500 milimeter dengan nilai rampasan berjumlah RM420.

“Turut dirampas adalah peralatan memproses daun ketum, lima pasang uniform polis dan wang tunai berjumlah RM1,200,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan tangkapan itu, Amihizam berkata seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan pada Jumaat lepas sekitar Jalan Klang Lama dan merampas air ketum dengan anggaran berat 10,500 ml.

BACA: Budak Lima Tahun Maut, Leher Dipercayai Tertusuk Besi Ampaian

Siasatan polis kemudiannya menahan dua lagi aggota polis berusia 31 hingga 35 tahun semalam di sekitar kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields bagi membantu siasatan.

“Lima suspek ditahan reman sehingga Sabtu lepas dan dibebaskan dengan jaminan polis manakala dua anggota yang ditahan semalam dibebaskan selepas diambil keterangan,” katanya.

Amihizam berkata keempat-empat anggota tersebut akan dikenakan tindakan tahan kerja dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Beliau berkata Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Brickfields masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti ahli sindiket dan sumber bekalan yang diperoleh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat  boleh menghubungi  talian 03-22979222 sambungan 553 bagi membantu siasatan,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad mengesahkan empat anggota polis ditahan kerana memiliki air ketum dan kes tersebut diserahkan kepada JIPS Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut.

Sumber: BERNAMA

By Staff Malaysia News Todays

Malaysia News Todays! National, Regional and World News. follow us for info latest everyday!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *